fbpx
CATATAN PERJALANAN RABAK, SUDAN
HABIS ‘RABAK’ BILA SEMUA RELAWAN AMALQURBAN SAMPAI SANA
September 14, 2016
HUKUM AQIQAH BAGI ANAK LELAKI DAN PEREMPUAN
July 23, 2018
Kami terperangkap dalam ribut hjan lebat angin kuat. Demi selamatkan kamera dan rakaman aktiviti. Kenderaan masih di seberang sungai. Bot yang digunakan untuk ambil kenderaan tak boleh bergerak" - Imam Muda Fakhrul

Catatan kembara Qurban Sudan : Suka Duka Di Bumi Afrika

SIKSA SUKA SENGSARA SERONOK HARI KEDUA KORBAN DI BUMI AFRIKA WHITE NILE STATE SUDAN

Hari kedua kami bangun dengan semangat berkobar-kobar. Malam tadi tidur awal demi menyimpan tenaga. Siap parang diasah berkilat dengan hati kembang nak sembelih sebanyak mungkin hari ini..

Seawal 7 pagi kami sudah mula bergerak dari rumah penginapan. Kami akan beroperasi di kawasan pelarian Salam. Satu pulau di seberang sungai Nil yang disediakan oleh kerajaan Sudan untuk menempatkan pelarian dari Sudan Selatan yang berjumlah 167,000 orang. Penempatan ini memuatkan 6 kem utama yang setiap satu kem memuatkan dari 5000 hingga 8000 lebih pelarian. Sebahagiannya muslim dan sebahagiannya tidak..

Pelarian ini dari mana?. Mari saya ceritakan sedikit maklumat tentang pelarian di kawasan ini. Kem pelarian Salam memuatkan pelarian dari dua etnik utama Sudan Selatan. Di sana terdapat 3 etnik utama iaiti Dinka, Syuluk dan Nuwair. 3 puak ini berperang sesama sendiri dan akhirnya kuasa berpihak kepada puak Dinka. Setelah menguasai Sudan Selatan, Dinka menghalau semua puak Syuluk dan Nuwair ke Sudan Utara. Semua pelarian di Kem Salam ini adalah dari puak Syuluk dan Nuwair.

Keseronokan pagi ini lebih berbunga apabila kami menyeberangi sungai Nil dengan menaiki feri. Perjalanan 10 minit dari Jabalain ke jeti kem Salam terasa terlalu singkat. Tak puas merasai sejuk angin dan melihat aluran ombak sungai nil hasil laluan feri..

Sesampainya di sana kami diminta duduk sebentar dibawah pokok sambil dijamu teh pudina untuk menunggu binatang korban yang akan dibawa dari tanah besar. Tunggu punya tunggu... teh demi teh.. bangun duduk bangun duduk.. 7 jam kami terpacak bawak pokok. Arab...oohhhh...arab. Hari ini kami sembelih perasaan marah kami sebelum kami sembelih lembu. Sabarrr jelah!.
Amal_Qurban_Catatan_Kembara_Qurban_Sudan_Play_3Amal_Qurban_Catatan_Kembara_Qurban_Sudan_Play_4
Menyempurnakan amanat rakyat Malaysia untuk program Amal Qurban dan Aqiqah Yayasan Amal Malaysia Sudan 2017 untuk tahun ke 9.

Fahin Alyamani

Menjelang pkul 3.30 petang kami diberitahu binatang korban sudah sampai. Dibawa dengan feri. Kemudian bintang tersebut diletakkan di tepi jeti. Berpuluh lembu nak diangkat ke atas lori dengan menggunakan tangan!. Allahu!!. Menunggu lagi!. Lembu pakat lari sampai masuk ke dalam sungai. Langgar sarang lebah pulak!. Berdengung pakat terbang menyengat lembu dan orang. Adoii!!. Tungguuu lagi!.?

Dalam kekalutan Alhamdulillah kami dijemput makan di sebuah kampung dengan rumah-rumah tanah yang sangat dhaif. Saya dijemput masuk ke salah sebuah disitu. Subhanallah, dari luar seperti tiada orang. Rupanya dibdalam berpuluh-puluh orang ada. Alhamdulillah.. dijamu dengan daging kambing panggang, susu beras tapai dan air sungai nil.. Rasanya??.. Panjang pulak cerita nanti.

Alhamdulillah selepas itu kami berpeluang masuk ke kawasan pelarian untuk program korban. Selepas hampir 8 jam!!. Nasib baik boleh dapat pengalaman-pengalaman baru..

Kami bergerak dari satu kem ke satu kem. Bukannya dekat. Antara kem ke kem dari 10 hingga 30 km. Kami duduk di belakang hilux. Driver Sudan ni pulak bawa kereta tak ingat dunia. Melambung-lambungbkami di belakang. Debu tak payah ceritalah. Cuaca panas terus sedikit demi sedikit menukar warna kulit kami seperti orang-orang Afrika. Satu-satu kem kami hanya sembelih 5 hingga 7 ekor lembu dan beberapa ekor kambing. Nak menampung hampir 5 orang satu kem memang tak cukup. Tapi untuk memastikan lembu dan kambing boleh dihantar ke kem-kem yang lain. Kami catu juga.


Ada sesetengah kem bila kami sampai mereka menjerit keseronokan terutamanya makcik-makcik. Menari-nari melolong menunjukkan rasa gembira mereka dengan kedatangan kami dan binatang korban. Saya berpeluang masuk ke salah sebuah rumah di kawasan pelarian ini. Rumah hanya dinding jerami tanpa atap. Ada sesetangahnya hanya beratapkan tanah dan kanvas sumbangan UNHCR. Makanan mereka kacang bendi kering dan daun-daun dihancurkan dimasak dengan air.

Satu perkara yang paling menyiksakan. Ialah rasa dahaga yang amat sangat. Kami diberikan air minum dari sungai Nil!!. Rasanya sangat payau dan menyakitkan tekak. Inilah minuman mereka disini. Warnanya agak kekuningan jernih. Mungkin telah ditapis tetapi masih lagi terasa payau. Para sukarelawan pada permulaannya tidak berminat untuk minum. Tetapi bila dah kering kontang tekak ni. Telan air liur pun rasa pedih. Terpaksa juga telan air tu. Alhamdulillah hilang dahaga. Tapi air tu menyebabkan tekak makin sakit. Apa??. Tak takut sakit perut ke?. Tawakkal je lah!. Kerja agama, Allah jaga InsyaAllah..?

Amal_Qurban_Catatan_Kembara_Qurban_Sudan_Play_2Amal_Qurban_Catatan_Kembara_Qurban_Sudan_Play_1
Hahaha..Throwback kenangan semalam. Sedang kami dipukul ribut setelah mendarat di jeti Jabalain. Dalam kegelapan terpaksa pecah masuk kedai kopi kecil milik orang mencari teduhan (sebenarnya membuka ikatan pintu yang juga disendal dengan batu). Kami mengisi masa dengan menghiburkan diri berselawat. Bukan selalu me"nyumbang"kan suara macam ni. Sejam menunggu hujan reda. PU Rahmat Ikhsan Mohd Sofyan pun tunjuk bakat juga. Hahaha..

Fahin Alyamani

Kami begerak dari satu kem ke satu kem sehingga malam. Letihnya hanya Allah yang tau. Muka dah berdebu-debu. Menjelang gelap kami tidak lagi dapat meneruskan. Makruh sembelih korban di waktu malam. Terlalu gelap tanpa lampu kecuali lampu kenderaan kami. Kami bergerak balik ke jeti.

Sampai ke jeti feri pulak tak ada. Kena tunggu lagiiiiii... Alhamdulillah hampir sejam menunggu feri sampai. Pengalaman memudiki sungai Nil diwaktu malam satu pengalaman yang sangat ajaib. Sungai yang luas dengan pekat malam. Di hujung horizon kilat sabung menyabung. Nak hujan kah?. Dua bukit kawasan Jabalain sekilas tersergam seiiring kilat yang sabung menyabung.. Pemandangan yang cukup ajaib!. Subhanallah!. Saya cuba mengambil gambar dan video tapi skrin kamera hanya gelap tanpa imej. Subhanallah, betapa hebat lens ciptaan Allah di mata kita. Tiada ciptaan manusia mampu menandinginya..

Sesampai kami di jeti Jabalain. Kenderaan yang sepatutnya menunggu kami pula tiada. Hilux yang kami naiki di kem Salam pula tidak boleh dibawa menyeberang menaiki feri lagi berikutan cuaca yang tidak menentu.. Menapak menunggu lagi!. Sabar..sabar. Kami menunggu di tepi jeti duduk diatas batu. Tiba-tiba sahaja hukan mula turun. Tanpa rintikan terlebih dahulu. Terus lebat!!. Kami bertempiaran lari mencari teduhan. Team media yang terlebih dahulu memecut dalam gelap bimbang kamera dan alatan terkena air. Abang Najib, ketua team media tak berhenti bertakbir sambil berlari. Tergelak saya melihatnya memecut dalam gelap.
Amal_Qurban_Catatan_Kembara_Qurban_Sudan_Play_6Amal_Qurban_Catatan_Kembara_Qurban_Sudan_Play_5
Pernah tengok cara orang Africa Sudan panggang kambing??.. Alhamdulillah... wajah keseronokan inilah yang menyejukkan hati para sukarelawan Amal Qurban Yayasan Amal Malaysia walau sesukar manapun kawasan pelarian yang kami masuk.. Terima kasih rakyat Malaysia yang sangat dermawan.. Lambaian ini untuk anda semua..

Fahin Alyamani

Kami lari sehingga sampai ke deretan kedai-kedai kecil buatan tanah. Hanya sempat berteduh dibawah atap jerami diluar kedai. Atap jerami tak mampu menampung air hujan yang lebat. Kami sudah basah kuyup. Air hujan yang naik membuat arus deras di kaki. Dalam kesejukan dan keadaan darurat menyelamatkan peralatan, kami terpaksa pecah masuk kedai kecil yang kami berteduh. (Sebenarnya hanya membuka ikatan tali dan sekatan batu di pintu). Rupanya kedai kopi kecil. Angin kuat sesekali menghempas dinding dan pintu. Kami dipukul ribut!. Keadaan berterusan hampir satu jam. Dalam kekalutan kami masih enjoy bernasyid dan bergurau riang di dalam hentaman ribut. Alhamdulillah, selepas sejam ribut reda dan Alhamdulillah kenderaan kami sampai. Dalam kesejukan, basah dan keletihan kami naik van dan hilux terus memecut ke rumah penginapan di Kinanah jarak perjalanan hampir 2 jam dari jeti.


Jam 12 malam lebih, kami sampai ke penginapan. Dalam keletihan kami masuk ke ruang makan. Ingat boleh makan terus. Tapi Allah uji lagi terpaksa bergaduh dengan pengurus penginapan terlebih dahulu demi untuk merasa nasi yang sudah seharian suntuk tak dijamah. Dia marah kerana balik lewat dan katanya menyusahkan dirinya. Malas bergaduh kami diam tadah telinga sahaja menahan sabar. Sudah letih.. malas nak dengar apa-apa dah. Yang kami nampak cuma sepinggan nasi dan bantal sahaja ?.

Alhamdulillah.. syukur pada Allah. Siksa tapi suka. Sengsara tapi seronok. Pengalaman pahit yang berasa manis. Alhamdulillah team Yayasan Amal Malaysia Terengganu dan Team Media Yayasan Amal Malaysia berjaya menyempurnakan amanah korban sebanyak 440 ekor. Alhamdulillah..

Terima kasih kepada rakyat Malaysia yang bersama kami. Senyuman di wajah mereka adalah ubat menghilangkan keletihan dan kepenatan pada kami..

BARAKALLAHU FIKUM..

Al Faqir IM Fakhrul
Refugees Camp
Jabalain White Nile State Sudan
Third day Qurban
10.18 am

Galeri Gambar Catatan kembara Qurban Sudan 2017

KENANGAN INDAH DAN SUKA DUKA YANG TIDAK AKAN DILUPAKAN