Soalan
Assalamualaikum Tn Mufti. Saya nak bertanya berkenaan aqiqah untuk anak yang telah meninggal dunia. Adakah masih boleh dan apa hukumnya? Terima kasih atas pencerahan.
Jawapan
Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah atas segala limpahan nikmat dan kurniaNya. Selawat dan salam ke atas Rasul junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W, ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda, dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda S.A.W hingga ke Hari Akhirat.
Kami mulakan kalam ini dengan sabda Rasulullah S.A.W:
مَعَ الْغُلاَمِ عَقِيقَتُهُ فَأَهْرِيقُوا عَنْهُ دَمًا وَأَمِيطُوا عَنْهُ الأَذَى
Maksudnya: “Bersama-sama kelahiran bayi ada aqiqahnya. Oleh itu, tumpahkanlah darah aqiqah bagi pihaknya dan buangkanlah kekotoran dan najis daripadanya”.
Riwayat al-Bukhari (2839)
Hadith ini merupakan dalil pensyariatan aqiqah apabila seseorang bayi itu dilahirkan. Hukum bagi pelaksanaan aqiqah ialah sunat muakkadah bagi yang berkemampuan. [Lihat: al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 8/426]. Ia sunat dilakukan pada hari ketujuh kelahiran bayi tersebut disamping memberikan nama yang baik dan juga mencukur rambut bayi tersebut. Ini berdasarkan sabda Baginda SAW daripada Samurah RA:
الْغُلاَمُ مُرْتَهَنٌ بِعَقِيقَتِهِ يُذْبَحُ عَنْهُ يَوْمَ السَّابِعِ وَيُسَمَّى وَيُحْلَقُ رَأْسُهُ
Maksudnya: “Bayi itu tertebus dengan aqiqahnya. Disembelih aqiqah pada hari yang ketujuh kelahirannya, diberikan nama dan dicukur rambutnya”.
Riwayat Abu Daud (1522)
Berdasarkan hadith di atas, dapatlah difahami bahawa jika seseorang bayi itu dilahirkan, maka disunatkan untuk dilaksanakan aqiqah ke atasnya dengan bilangan sebanyak dua ekor kambing bagi lelaki dan seekor kambing bagi perempuan. Ini juga berdasarkan kepada hadith Nabi Muhammad S.A.W:
مَنْ وُلِدَ لَهُ وَلَدٌ فَأَحَبَّ أَنْ يَنْسُكَ عَنْهُ فَلْيَنْسُكْ عَنِ الْغُلاَمِ شَاتَانِ مُكَافِئَتَانِ وَعَنِ الْجَارِيَةِ شَاةٌ
Maksudnya: “Sesiapa yang dikurniakan anak dan ingin melakukan ibadat untuknya, maka lakukanlah ibadah aqiqah bagi anak lelaki dua ekor kambing dan bagi anak perempuan pula seekor kambing”.
Riwayat Abu Daud (2842)
Berkenaan dengan tempoh sunat pelaksanaan aqiqah, perkara ini ada dibahaskan dalam artikel kami yang bertajuk AL-KAFI SIRI-633: HUKUM AQIQAH BAGI DIRI SENDIRI. Berdasarkan artikel ini, kami mengatakan bahawa hukum aqiqah jika ditinggalkan tanpa keuzuran adalah makruh hukumnya dan bukannya maksiat. Begitu juga jika ditinggalkan aqiqah itu kerana tidak mampu, maka tidak haram mahupun makruh.
Sebahagian ulama Syafi’i yang terkemudian berpendapat bahawa seseorang yang tidak mampu melakukan aqiqah kemudian menjadi senang selepas tujuh hari kelahiran maka tidak sunat lagi untuk melakukan aqiqah. Manakala sebahagian Syafieyyah pula berkata sebelum tamat tempoh nifas. Pendapat yang rajih dalam mazhab al-Syafie bahawa hukum sunatnya kekal sehingga anak itu baligh.
[Lihat: Mughni al-Muhtaj; 6/139]
Berbalik kepada persoalan yang diajukan, jika seorang anak meninggal dunia, adakah masih perlu dilaksanakan aqiqah ke atasnya. Maka, di sini, ulama’ ada berbeza pendapat berkenaannya.
Pendapat Pertama: Jika mati seorang anak sebelum hari ke-7 kelahirannya, maka disunatkan untuk dilaksanakan ibadah aqiqah ke atasnya sepertimana disunatkan ke atas orang yang hidup. Ini merupakan pendapat yang dipegang dalam mazhab Syafi’i.
Pendapat Kedua: Tidak disunatkan aqiqah ke atasnya. Ini merupakan pendapat Hasan al-Basri dan juga Imam Malik.
[Lihat: al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab; 8/448]
Namun, jika si anak meninggal selepas hari ke-7 kelahirannya dan setelah berkemampuan, maka di sini ada dua pendapat sepertimana yang dikatakan oleh Imam al-Rafi’ie. Pendapat pertama ialah disunatkan untuk aqiqah ke atasnya. Dan ini merupakan pendapat yang rajih. Pendapat yang kedua pula ialah ia gugur bersama-sama kematian. [Lihat: al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab; 8/432].
Perihal Janin
Kami lampirkan bersama pendapat ulama’ berkenaan jika janin yang meninggal dunia atau gugur, maka adakah disunatkan juga untuk dilaksanakan aqiqah ke atasnya atau tidak disunatkan. Dalam hal ini kami memetik kata-kata Ibn Hajar al-Haitami di dalam kitabnya:
بأن العقيقة إنما تسن عن سقط نفخت فيه الروح، وأما ما لم تنفخ فيه الروح فهو جماد لا يبعث ولا ينتفع به في الآخرة، فلا تسن له عقيقة، بخلاف ما نفخت فيه فإنه حي يبعث في الآخرة، وينتفع بشفاعته، وقد قال جماعة من السلف: من لم يعق عن ولده لا يشفع له يوم القيامة، فأفهمَ ما ذَكَرتُه من أن العقيقة تابعة للولد الذي يشفع، وهو من نفخت فيه الروح، فكذلك يقيد ندبها بمن نفخت فيه الروح، والله سبحانه وتعالى أعلم.
Maksudnya: Sesungguhnya aqiqah disunatkan ke atas janin yang gugur setelah ditiupkan roh pada dirinya. Dan jika belum ataupun tidak ditiupkan roh padanya maka ia merupakan objek yang tidak akan dibangkitkan dan tiada manfaat daripadanya pada Hari Akhirat kelak, maka tidak disunatkan ke atasnya aqiqah. Ini berbeza dengan janin yang telah ditiupkan roh ke atasnya maka sesungguhnya dia telah hidup dan bakal dibangkitkan di Akhirat kelak, dan bermanfaat dengan syafaatnya. Telah berkata sebahagian ulama’ terdahulu: Barangsiapa yang tidak melakukan aqiqah ke atas anaknya maka tiada syafaat baginya (dari anaknya) pada hari Kiamat. Maka difahami daripada kalam mereka bahawasanya pelaksanaan aqiqah mengikut kepada anak yang boleh memberi syafaat, yakni anak yang telah ditiupkan roh ke atasnya, begitu juga terikat padanya hukum sunat.
[Lihat: al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra; 4/257]
Berdasarkan kalam ini, Dar al-Ifta’ al-Misriyyah ada mengeluarkan pendapat mereka iaitu jika umur janin ialah empat bulan atau lebih maka disunatkan aqiqah ke atasnya disebabkan telah ditiupkan roh ke atasnya. Adapun jika ia tidak melebihi tempoh empat bulan, maka tidak disunatkan untuk melaksanakan aqiqah ke atasnya kerana ia mengambil hukum objek. Perkara ini dikuatkan lagi dengan fatwa yang dikeluarkan oleh Fatawa al-Lajnah al-Da’imah; 8/407].
Di sini, terdapat juga sebuah kata-kata dari Imam Ahmad bin Hanbal dalam persoalan ini bahawasanya: “ia (aqiqah) dalam bab syafa’at”. Dimaksudkan dengan itu ialah jika tidak dilaksanakan aqiqah ke atasnya, kemudian meninggal anak tersebut, maka tidaklah dia memberi syafaat kepada ibu bapanya.
[Lihat: Fath al-Bari li Ibn Hajar; 9/594]
Penutup
Kesimpulannya, berdasarkan kepada penerangan di atas, dapatlah kami simpulkan jawapan kami kepada beberapa noktah seperti berikut:
Akhir kalam, kami mendoakan agar Allah S.W.T memberikan kefahaman kepada kita dalam memahami agamaNya, menetapkan keimanan dan kepercayaan kita, meletakkan keringanan dan keikhlasan dalam diri kita untuk menunaikan ibadah dan seterusnya semoga Allah S.W.T menerima segala amal kebajikan kita.
Wallahua’lam.