fbpx
BOLEHKAH BUAT AQIQAH UNTUK JANIN YANG MENINGGAL DALAM KANDUNGAN?
June 22, 2020
LEMBU PATAH TANDUK, SAH ATAU TIDAK BUAT QURBAN?
June 26, 2020

Semakin dekat kita dengan Hari Raya Aidil Adha, semakin banyak persoalan yang akan timbul dalam kalangan masyarakat kini terutamanya qurban dan ‘aqiqah atas seekor lembu yang sama. Contoh soalan yang biasa diajukan adalah “Bolehkah sekiranya seekor lembu korban itu diniatkan 5 bahagian untuk korban manakala 2 bahagian lagi untuk aqiqah?

Jawapan dibawah adalah bersumberkan Mufti Wilayah Persekutuan.

Sebelum itu, untuk pengetahuan semua bahawa bagi seekor lembu ataupun unta, ianya boleh dikongsikan kepada 7 bahagian. Ini berdasarkan sebuah hadith daripada Jabir bin Abdullah RA yang mana menyebutkan:

Maksudnya: Kami telah melakukan korban bersama-sama Rasulullah SAW pada tahun Hudaibiyah dengan unta yang dikongsi dengan 7 bahagian dan lembu yang dikongsi dengan 7 bahagian. (Riwayat Muslim (1318), Abu Daud (2809) & Al-Tirmizi (1502)

Al-Imam al-Nawawi Rahimahullah di dalam kitabnya al-Minhaj Syarh Sahih Muslim mengatakan bahawa hadith di atas menjadi dalil kebolehan untuk isytirak (berkongsi) seekor lembu atau unta untuk 7 bahagian (yang setiap satunya mewakili seekor kambing).

  • Al-Syafi’eyyah membenarkannya. Ini sepertimana pendapat Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullah yang mana menyebutkan bahawa:

Maksudnya: “Sekiranya disembelih unta atau lembu untuk 7 bahagian bagi sebab-sebab darinya untuk korban dan aqiqah manakala bakinya untuk kaffarat bagi bercukur ketika  ibadah haji makan sah hukumnya..”

  • Al-Hanafiah juga membenarkannya. Ini sepertimana di sebutkan oleh Ibn ‘Abidin al-Hanafi Rahimahullah di dalam Hasyiahnya iaitu dibenarkan untuk berlakunya perkongsian bagi korban dan aqiqah. Ini kerana korban dan juga aqiqah adalah amalan yang keduanya mendekatkan diri kepada Allah SWT (al-qurbah).
  • Al-Malikiyyah dan juga al-Hanabilah adalah tidak dibenarkan iaitu menurut mereka ianya tidak sah. Ini kerana pada pendapat mereka, untuk korban dan juga aqiqah itu adalah dua sembelihan yang berbeza tujuannya maka ianya tidak boleh disatukan seperti mana dam al-Tamattu’ dan juga dam al-Fidyah.

Maka kesimpulannya bahawa ia BOLEH untuk disekalikan niat korban dan aqiqah pada bahagian lembu dan juga unta seperti mana dengan pendapat dari kalangan al-Syafi’ieyyah dan juga al-Hanafiah.

Akan tetapi sekiranya jika seseorang itu berkemampuan untuk melakukan ibadah qurban dan akikah, maka jalan yang terbaik adalah mengasingkan setiap satu daripada ibadah tersebut tanpa adanya perkongsian (korban dan aqiqah disekalikan) dan itu adalah yang terbaik untuk keluar daripada khilaf.

Sumber : Irsyad Al Fatwa Mufti Wilayah Persekutuan 10 Ogos 2016 : Hukum Berkongsi Qurban dan Aqiqah pada sembelihan lembu atau unta yang sama?