Pernah tak dalam sehari, hati kita cenderung untuk melakukan kebaikan?
Rasa hati berkobar-kobar, bersemangat untuk beramal sebaiknya dan sebanyaknya.
Tak kiralah, apa jua bentuk kebaikan pun. Hatta membuang duri di jalan, menyantuni masyarakat dengan muamalah yang terbaik hinggakan dalam urusan ibadah sekalipun. Hakikatnya apa yang hati kita cenderungkan itu adalah selari dengan syariat. Islam menuntut kita agar bersegera dalam melakukan hal-hal kebaikan.
Firman Allah SWT dalam surah Ali-Imran ayat 133 yang bermaksud, “Segerakanlah melakukan kebaikan bagi memperoleh keampunan daripada Allah SWT dan balasan syurga terutamanya bagi mereka yang bertaqwa”
Menundakan amalan kebaikan hanya akan menyebabkan kita akan ditimpa kerugian.
Kita sering kali membaca surah al-Asr dalam setiap penutup perjumpaan seharian kita. Namun, adakah kita benar-benar menghayati dan merenung sedalam-dalamnya kalamullah yang indah ini. Mari kita perhatikan maksud surah al-Asr.
“Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang yang beriman dan beramal soleh dan berpesan pesan pada kebaikan dan kebenaran.”
Ternyata, Allah menegur kita secara halus bahawa melengah dan menangguhkan urusan kebaikan tidak lain bahkan hanya merugikan kita sahaja.
Dalam sebuah hadis Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Segeralah melakukan amal soleh (sebelum datang) tujuh perkara. Apakah yang kamu perlu tunggu melainkan kefakiran yang akan melupakan kamu (daripada beramal), atau kekayaan yang akan menimbulkan rasa angkuh yang melampui batas, atau penyakit yang merosak (sehingga sukar untuk beramal soleh), atau masa tua yang menimbulkan kenyanyukan dan keuzuran, atau kematian yang cepat (secara tiba-tiba), atau adanya Dajjal sebagai makhluk jahat yang paling ditunggu-tunggu, atau datang hari kiamat dan hari kiamat itu lebih berat dan lebih sukar.” (Hadith riwayat At-Tirmizi, No: 2306, Al-Hakim dalam al-Mustadrak, No: 7976, al-Tobrani dalam Mu’jam al-Awsatd, No: 3957)
Pengajaran Hadith :
1. Sesunggunyah Allah SWT yang menciptakan manusia daripada tiada kepada ada. Setiap yang hidup pasti akan menemui kematian. Lalu akan dihidupkan kembali di alam akhirat yang kekal selama-lamanya.
2. Jangan mensia-siakan waktu yang masih ada sebelum datang penyesalan yang tiada berguna. Perbanyakan istighfar (memohon keampunan) dan tinggalkan maksiat serta seringlah mengingati kematian kerana kita tidak tahu bila saat kematian akan tiba. Sesungguhnya dengan mengingati kematian seseorang Muslim itu akan sentiasa teruja melakukan ketaatan.
3. Setiap Muslim hendaklah segera beramal sebelum datangnya tujuh perkara berikut :
1. Kefakiran yang akan melupakan kamu daripada kewajipan.
2. Kekayaan yang akan menimbulkan rasa angkuh yang melampui batas.
3. Penyakit yang membinasakan sehingga sukar untuk beramal soleh.
4. Masa tua yang menimbulkan kenyanyukan dan keuzuran.
5. Kematian yang cepat dan secara tiba-tiba.
6. Kemunculan Dajjal sebagai makhluk jahat yang paling ditunggu-tunggu.
7. Hari Kiamat yang sangat mengerikan.
Mahu yang mana?
Untung atau rugi,
pastinya UNTUNG yang kita mahukan.
Untung dunia, untung akhirat.
InshaAllah.