fbpx
Ibadah Qurban di Myanmar
August 9, 2014
IBADAH QURBAN DI KARALA INDIA DAN SRI LANKA
October 7, 2014

6 Oktober 2014, Isnin – Sehari suntuk menyempurnakan Misi Qorban dan Aqiqah Yayasan Amal Malaysia Cawangan Terengganu semalam di perkampungan Shagarab dalam Wilayah Kassala yang menempatkan ratusan ribu pelarian dari negara bergolak Eritrea dan Ethiopia mengingatkan saya kepada satu ungkapan…

“Kalau kamu nak tengok masa depan suatu ummat, tengoklah generasi mudanya pada hari ini.”

Bila saya melihat apa yang dilalui oleh ratusan ribu anak-anak pelarian di sini, suatu hakikat pilu yang sangat jelas terpampang di alam realiti. Mereka tidak lagi memiliki masa depan!

Bilangan pelarian semakin bertambah, konflik di negara mereka tidak memberikan sebarang gambaran bahawa mereka bakal pulang ke tanahair sendiri suatu hari nanti. Ramai dari kalangan mereka telah meninggalkan negara sendiri lalu menumpang hidup di bumi Sudan semenjak lebih dari 30 tahun yang lalu.

Saya melihat sektor pendidikan tidak langsung diberikan perhatian oleh UNHCR. Apakah mungkin hal ini berlaku kerana pelarian ini hampir 100 peratus adalah muslim? Buktinya tidak ada sebuah sekolah pun yang didirikan oleh agensi PBB yang menguruskan hal ehwal orang-orang pelarian ini.
Yang ada hanyalah 3 buah sekolah milik Yayasan Ehsan Sudan. Itu pun hanyalah sekolah yang sangat dhaif. Setiap satunya sekadar mampu memuatkan tak lebih dari 300 orang pelajar dengan dua sesi pembelajaran pagi dan petang. Bermakna tak sampai dua ribu anak-anak yang mampu mendapat pendidikan dalam satu-satu masa sedangkan bilangan mereka berjumlah ratusan ribu.

Di sini pelajar sekolah tak ada kertas untuk menulis. Mereka masih menggunakan papan tulis sama sebagaimana yang digunakan oleh orang-orang tua kita dulu. Pendidikannya hanya di peringkat yang paling asas. Manakala bakinya lebih ramai yang tak bersekolah. Mereka cuma mampu belajar dari alam sekeliling. Belajar dari lembu, dari kambing, dari biri-biri, dari ladang, dari tanah dan lumpur serta dari orang-orang tua dan masyarakat sekeliling yang juga tak berpendidikan.

Bermakna mereka melalui kelangsungan siang dan malam dalam kehidupan hanya untuk sesuap makanan serta keperluan lain yang paling minima. Dalam bab agama, saya sempat berbual pendek dengan seorang Syeikh yang juga pelarian dari Ethiopia. Beliau dan keluarga telah meninggalkan bumi Ethiopia sejak dari 1984 lagi. Beliau sedaya upaya cuba untuk mengurus sebuah masjid kecil lagi dhaif yang terdapat di dalam penempatan pelarian. Tentunya ia masih terlalu jauh dari istilah
sebuah masjid. Tapi itulah sekadar yang ada.

Walau pahit kenyataannya, inilah realiti kehidupan yang sedang dilalui saudara seagama kita di satu sudut terpencil dari muka bumi Allah. Yayasan Amal Malaysia Cawangan Terengganu telah memulakan kolaborasi dengan Yayasan Ehsan Sudan sejak beberapa tahun lalu dalam kerja-kerja kemanusian di sini. Memang ia masih terlalu jauh dari sasaran. Malah sangat-sangat jauh dari mencukupi. Tapi sekurang-kurangnya langkah ke arah itu telah dirintis…